Tok Batin Difitnah Sorok Pendaki, 50 Pemimpin Orang Asli Buat Laporan Polis
Tok Batin Difitnah Sorok Pendaki, 50 Pemimpin Orang Asli Lapor Polis

Kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis hari ini bagi membantah dakwaan serta fitnah terhadap tok batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu berhubung penemuan pendaki wanita Jaslinda Saludin di kawasan Gunung Batu Putih baru-baru ini.

Laporan Susulan Video Viral

Tok Batin KOA Lata Kinjang Rani a/l Bah Ulin berkata, laporan itu dibuat susulan penyebaran kandungan video oleh seorang pengguna media sosial yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas sehingga mencemarkan nama baik Mohd Asmmadi Abdullah, serta institusi kebatinan Orang Asli.

Rani berkata, pihaknya kesal dengan tuduhan kononnya Mohd Asmmadi menyembunyikan atau menyimpan Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum ditemukan penduduk Orang Asli di kawasan berdekatan KOA Lubuk Gaharu.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Dakwaan itu tidak berasas dan amat mengguris perasaan masyarakat Orang Asli seolah-olah dianggap kami ini masyarakat yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain,” katanya selepas membuat laporan polis di IPD Tapah hari ini.

“Kami melihatnya sebagai satu penghinaan bukan sahaja terhadap Tok Batin Asmmadi tetapi juga kepada seluruh institusi kebatinan, yang selama ini berperanan membantu masyarakat tanpa mengira kaum, terutama ketika berlaku kecemasan.”

Kesal dengan Tuduhan Tidak Berasas

Terdahulu, tular video di TikTok yang mendakwa Jaslinda telah ‘disimpan’ oleh tok batin selama dua minggu dan jika perkara terbabit tidak tular, tok batin itu mungkin akan berkahwin dengan Jaslinda.

Sementara itu, wakil belia Orang Asli Eris Joshan a/l Chew Ho Beng, 22, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit yang jelas menjejaskan imej tok batin yang terlibat dalam operasi pencarian, malah memberikan gambaran buruk terhadap seluruh masyarakat Orang Asli di negara ini.

“Tok Batin merupakan pemimpin masyarakat yang dihormati dan menjadi tonggak kepimpinan komuniti Orang Asli. Sebarang penghinaan terhadap mereka secara tidak langsung memberi kesan kepada seluruh masyarakat Orang Asli di Malaysia.

“Orang Asli juga mempunyai maruah yang perlu dihormati kerana apa yang dianggap jenaka oleh sesetengah pihak boleh menjadi satu penghinaan yang memberikan kesan kepada seluruh komuniti,” katanya.

Beliau turut berharap tindakan undang-undang yang setimpal dapat diambil terhadap individu terbabit bagi memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak memperlekeh atau menghina institusi tok batin serta masyarakat Orang Asli.

Jaslinda Ditemui Selamat

Jaslinda Saludin yang hilang hampir dua minggu di Gunung Batu Putih, Perak, ditemui selamat di perkampungan Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh Jumaat lepas. Penemuan itu menimbulkan kegembiraan namun turut mencetuskan kontroversi di media sosial.

Masyarakat Orang Asli berharap kejadian ini tidak menjejaskan hubungan baik mereka dengan komuniti lain serta menegaskan bahawa institusi tok batin sentiasa berpegang kepada nilai integriti dan tanggungjawab dalam membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga