PETALING JAYA: Polis percaya suspek yang terlibat dalam rompakan bersenjata di sebuah kedai runcit di Taman Klebang Ria, Chemor, Ipoh pada hari Ahad masih berada di dalam negara.
Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, berkata suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa jenayah di negeri-negeri jiran. Beliau berkata polis sedang meneliti rakaman video kejadian yang tular di media sosial, serta maklumat risikan untuk mengesan suspek.
“Kami juga bekerjasama dengan polis di negeri jiran dan meneliti kaitan dengan kes-kes lain,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Noor Hisam enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai suspek, termasuk pergerakan mereka, kerana bimbang akan menjejaskan usaha mengesan mereka.
Dalam kejadian 31 Mei lalu, tiga lelaki bersenjatakan parang telah merompak kedai tersebut dan melarikan wang tunai serta barang berharga bernilai RM1,600. Rakaman video kejadian itu telah tular di media sosial.
Ketua Polis Ipoh, Najib Hamzah, semalam berkata tiada kecederaan dilaporkan dan suspek telah dikenal pasti oleh polis. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan bersenjata.
Beliau berkata kes ini dipercayai berkaitan dengan satu lagi rompakan di sebuah kedai runcit di Nibong Tebal, Pulau Pinang, pada hari yang sama.



