Rayuan Anggota Rela Tembak Rakan Baik Ditolak, Penjara 30 Tahun Kekal
Rayuan Anggota Rela Tembak Rakan Baik Ditolak

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap seorang anggota Rela yang didapati bersalah menembak mati rakan baiknya, yang juga bekas ketua Bahagian MCA Marang, di sebuah tokong di Terengganu lima tahun lalu.

Keputusan Mahkamah

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Mahkamah Malaya, Datuk Seri Rhodzariah Bujang, sebulat suara menolak rayuan Ong Chow Lee, 62, untuk mengetepikan sabitan kes bunuh yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2 Julai 2025. "Mahkamah mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit... oleh itu, rayuan ditolak," katanya. Beliau bersidang bersama-sama Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Hakim Datuk Ravinthran Paramaguru.

Latar Belakang Kes

Pada 9 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun selepas Ong mengaku membunuh Fong Swee Fuan, 65, di sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara 1.20 hingga 1.55 tengah hari pada 23 Julai 2021. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Selain itu, Ong turut dijatuhi hukuman penjara 13 tahun selepas mengaku cuba membunuh anak saudara mangsa, Teo Hock Beng, 48, yang cedera ditembak di lengan kirinya pada hari yang sama. Bagi kesalahan itu, Ong didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan diperintahkan menjalani hukuman penjara secara serentak dari tarikh tangkap pada 23 Julai 2021. Bagaimanapun, Ong tidak mengemukakan rayuan terhadap sabitan cuba membunuh Teoh.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Rayuan Sebelumnya

Pada 2 Julai tahun lepas, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Ong terhadap sabitan dan hukuman, serta mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Hujahan Peguam

Terdahulu, Ong meminta kesnya dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula atas alasan dia telah dipengaruhi oleh bekas peguamnya untuk mengaku bersalah dan mempercayai bahawa dia hanya akan dihukum penjara 15 tahun. Peguam Ahmad Ridzuan Awang berhujah bahawa terdapat kekhilafan dari segi fakta dan undang-undang apabila Hakim Mahkamah Tinggi menerima pengakuan bersalah Ong tanpa menjelaskan sifat serta akibat pengakuan tertuduh. Beliau berkata nota prosiding merekodkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi secara teliti menawarkan jurubahasa Cina kepada tertuduh, namun Ong memilih untuk mendengar dua pertuduhan dalam Bahasa Melayu. "Penggunaan Bahasa Melayu dalam membacakan pertuduhan tidak membolehkan mahkamah membuat anggapan bahawa tertuduh telah memahami pertuduhan ke atasnya, dan memahami sifat serta akibat daripada pengakuan salah," katanya.

Hujahan Pendakwa Raya

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang pula berhujah bahawa pengakuan bersalah oleh Ong jelas teratur dan mengikut prosedur undang-undang, selain perayu mengakui memahami sifat dan akibat pengakuan itu. "Adalah tidak munasabah dan tiada apa-apa sebab untuk mahkamah atau peguam menidakkan hak perayu untuk mendapatkan khidmat jurubahasa pada hari prosiding kerana nota prosiding jelas menunjukkan bahawa jurubahasa Cina ada disediakan dan hadir pada hari berkenaan. Mahkamah mendapati jelas perayu telah ditanya beberapa kali dan dia mengesahkan sendiri faham Bahasa Melayu dan tidak memerlukan jurubahasa Cina serta diwakili peguam ketika prosiding," katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga