Polis Buka Kertas Siasatan Akaun TikTok Palsu Hina Agong, Amaran Isu 3R
Polis Siasat Akaun TikTok Palsu Hina Agong, Amaran Isu 3R

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung kandungan yang didakwa memfitnah dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang dipercayai disiarkan melalui akaun TikTok palsu.

Siasatan Dijalankan Unit Jenayah Terkelas

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

“Ya, kami telah membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan lanjut melalui USJT, JSJ Bukit Aman,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Pada masa ini, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghina seseorang dengan niat untuk mencetuskan gangguan keamanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan kemudahan rangkaian atau aplikasi yang tidak wajar.

Amaran Kepada Orang Awam

Kumar mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menyiarkan kandungan di media sosial, terutamanya melibatkan isu 3R iaitu kaum, agama, dan institusi diraja.

“JSJ tidak akan berkompromi dengan perkara yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam, bagi memastikan keamanan dan kemakmuran sentiasa terpelihara,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa Pejabat Akhbar Diraja Johor telah menuntut tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab mencipta akaun TikTok palsu untuk memfitnah dan menghina Sultan Ibrahim.

Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Agong, Pejabat Akhbar Diraja berkata akaun menggunakan nama “Sultan Ibrahim Ismail” itu didapati menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk menyebarkan kandungan menghina terhadap Seri Paduka.

Antara kandungan yang dimuat naik ialah video mengandungi dakwaan bahawa Yang di-Pertuan Agong gemar memakan daging babi, satu hantaran yang digambarkan sebagai tidak benar dan menyentuh sensitiviti, memandangkan Seri Paduka adalah seorang Raja Melayu dan Ketua Negara Islam.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga