SHAH ALAM, 21 Mei — Polis menahan 43 individu termasuk seorang warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam empat sindiket pusat panggilan berasingan selepas beberapa serbuan di sekitar Shah Alam dan Puchong pada 19 Mei dan semalam.
Serbuan di Setia Alam
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata melalui tangkapan di sebuah banglo dua tingkat di Setia Alam di sini pada 19 Mei, polis menahan 13 warga asing dan seorang warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam penipuan tawaran kerja sambilan yang menyasarkan warga Iraq.
“Berikutan tangkapan semua lelaki berusia antara 19 dan 41 tahun itu, polis turut merampas 20 unit telefon pintar, 12 unit set komputer, dan dua kenderaan dengan anggaran nilai keseluruhan RM123,000,” katanya dalam sidang akhbar di Mess Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Tiga sindiket di Puchong
Sementara itu, Shazeli berkata polis juga menahan 29 warga asing termasuk dua wanita dalam tiga serbuan berasingan antara jam 11.00 malam dan 1.20 pagi di Bandar 16 Sierra, Puchong pada 19 Mei dan semalam.
Beliau menambah bahawa tangkapan melibatkan tiga sindiket berbeza termasuk suspek berusia antara 18 dan 63 tahun, dan kesemua suspek ini beroperasi dari kediaman rumah pangsa tiga tingkat yang terletak berhampiran antara satu sama lain.
“Siasatan mendapati sindiket ini menjalankan penipuan pelaburan serta mengumpul maklumat kewangan yang diperoleh daripada aktiviti penipuan,” katanya.
Shazeli menyatakan bahawa barang rampasan bagi ketiga-tiga kes itu berjumlah RM69,000, termasuk komputer riba, penghala Wi-Fi, dan telefon pintar.
Berdasarkan siasatan awal, katanya sindiket itu dipercayai melakukan penipuan dalam talian yang menyasarkan warga Peru dan China.
Tindakan undang-undang
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa keempat-empat kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, manakala semua suspek telah direman selama empat hari sehingga 23 Mei. — Bernama



