Polis Perlis menahan seorang lelaki berusia 61 tahun pada malam ini kerana menulis kalimah 'Allah' di dinding sebuah tokong yang terletak di belakang kedai perkakasannya di Seriab, Kangar.
Laporan polis dibuat
Penangkapan itu dilakukan selepas satu laporan polis dibuat lebih awal hari ini oleh Ketua Pemuda Umno Kangar, Saiful Fariddil Jasmi. Beliau juga memuat naik satu klip video yang menunjukkan beliau menegur seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Kangar, Yusharifuddin Yusop, berkata suspek ditahan untuk siasatan mengikut kesalahan mencederakan perasaan keagamaan dan perbuatan menghina.
Polis minta orang ramai bertenang
“Sementara itu, kami berharap orang ramai dapat bertenang dan berhenti membuat andaian atau provokasi. Biarkan polis mengendalikan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden ini berlaku kira-kira sebulan selepas sebuah tokong di Jasin, Melaka, didapati mempunyai kalimah 'Allah' dan satu lagi istilah Islam ditulis di dindingnya. Tokong tersebut telah dirobohkan berikutan persetujuan yang dicapai antara pemilik tanah dan pihak berkuasa. Barang-barang suci dari tokong itu telah dipindahkan ke lokasi lain selepas pemilik tanah menunaikan upacara keagamaan.



