MERSING, 20 Mei — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini memandu sendiri sebuah bot laju bagi meninjau keadaan perairan di sekitar Mersing, mencerminkan keprihatinan baginda terhadap pemuliharaan marin dan kelestarian alam sekitar.
Tinjauan Dasar Laut
Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda yang amat mementingkan kebersihan pantai dan pemeliharaan ekosistem marin turut menyelam di bawah air semasa lawatan itu bagi memerhatikan keadaan di dasar laut.
Singgah Bersarapan
Lebih awal pagi tadi, Sultan Ibrahim singgah bersarapan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Midway di Dusun Panti, Kota Tinggi, di mana baginda menikmati ‘lontong’. Kehadiran baginda mengejutkan orang ramai yang sedang bersarapan di R&R tersebut, dengan ramai yang mengambil peluang untuk memberi salam dan bergambar bersama baginda. — Bernama



