Polis Buka 5 Kertas Siasatan Susulan Laporan RCI Tabung Haji
Polis Buka 5 Kertas Siasatan RCI Tabung Haji

Polis telah membuka lima kertas siasatan susulan sembilan laporan yang diterima berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Rusdi Isa, berkata tindakan kini sedang diambil untuk merakam keterangan saksi-saksi yang terlibat dari dalam serta luar negara.

Lima Kertas Siasatan Dibuka

Beliau berkata, pihak polis juga sedang berusaha mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut. “Siasatan dijalankan di bawah beberapa undang-undang merangkumi Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya dalam kenyataan.

Rusdi menambah, pihaknya komited untuk memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus, profesional dan berlandaskan undang-undang. “Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Nasihat kepada Orang Ramai

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Laporan RCI setebal 252 muka surat berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 dinyahklasifikasikan serta didedahkan, minggu lalu, selepas suruhanjaya itu menyiapkannya pada Julai 2022.

Penemuan Utama RCI

Hasil siasatan RCI antara lain mendapati TH menyembunyikan keadaan sebenar kewangannya selama bertahun-tahun, dengan melaporkan keuntungan RM3.4 bilion bagi 2017, sedangkan di bawah piawaian perakaunan betul ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion – jurang hampir RM4.8 bilion.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga