Seorang lelaki berusia 75 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Klang pada Khamis atas tuduhan memandu melulu yang mengakibatkan kematian dua beradik, Rabu lalu.
Tertuduh, Ang Kim Lai, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Khartiyayini dalam bahasa Mandarin.
Menurut kertas pertuduhan, Ang yang merupakan pesara sektor swasta, didakwa memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) secara melulu dan menyebabkan kematian Wong Nyok Sim, 62, dan Wong Nyoke Fong, 57, di Jalan Pekan Baru di sini pada jam 7.30 malam, 15 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, serta penggantungan lesen, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, memandangkan keseriusan kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, peguam Tong Kuan Ling yang mewakili tertuduh merayu jaminan yang rendah atas alasan bapa kepada lima orang anak itu menghidap tekanan darah tinggi dan diabetes yang memerlukan rawatan susulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai. Sebutan kes ditetapkan pada 4 Ogos.
Dalam kejadian tersebut, seorang remaja berusia 17 tahun yang merupakan anak kepada salah seorang mangsa juga mengalami kecederaan.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa dalam kejadian pada malam 15 Mei itu, dua wanita tempatan berusia 57 dan 62 tahun maut di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah SUV.
Pemandu SUV itu dilaporkan melarikan diri sejurus selepas kemalangan sebelum ditangkap polis di restorannya pada keesokan hari. — Bernama



