PETALING JAYA: Seorang pelajar Tingkatan 2 antara lapan individu yang ditahan polis berhubung pergaduhan berhampiran sebuah sekolah menengah di Klang, Selangor, dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Lim Jit Huey berkata, semua suspek berusia antara 14 hingga 24 tahun itu ditahan selepas satu laporan polis mengenai kejadian itu dibuat pada pukul 1 pagi semalam.
Kejadian itu dipercayai berlaku sekitar pukul 6.50 petang pada hari Selasa, lapor Harian Metro.
“Sebahagian daripada suspek yang ditahan masih bersekolah. Kejadian ini dipercayai berpunca daripada usikan antara dua kumpulan remaja yang kemudiannya membawa kepada pertengkaran,” kata Lim.
Beliau menambah, tiada unsur samseng terlibat dalam kejadian tersebut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Sebuah video berdurasi 26 saat yang tular di media sosial menunjukkan dua kumpulan remaja bergaduh berhampiran sekolah tersebut.



