Seorang pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang doktor dan anaknya yang berusia dua tahun maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM67 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Chini, Pekan, semalam.
Mangsa yang terkorban dalam nahas kira-kira jam 6 petang itu ialah pegawai perubatan Hospital Segamat di Johor, Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, anaknya Dhea Sofia, serta Ketua Penolong Pengarah LHDN Cawangan Cyberjaya, Azaharuddin Mohd Ali, 46.
Ketua Polis Pekan, Zaidi Mat Zin, berkata tiga penumpang kereta, dua penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pemandu pikap turut cedera dalam nahas tersebut.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku selepas pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun cuba memotong sebuah lori. Namun, pikap itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan, lalu bertembung dengan kereta yang dipandu doktor berkenaan dan MPV yang dipandu Azaharuddin yang dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan MPV meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menurut Berita Harian.
Zaidi berkata, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun pula disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Klinik Kesihatan Chini.
Jelasnya, tiga penumpang kereta yang cedera ialah isteri Dr Mohamad Zekry yang juga pegawai perubatan di Hospital Segamat, Dr Hana Ibrahim, 35, serta bapa dan ibunya yang masing-masing berusia 72 dan 80 tahun.
Katanya, turut cedera ialah penumpang MPV iaitu isteri Azaharuddin, Fatimah Awing Kechik, 46, dan anaknya yang berusia 15 tahun, Aiman Faez Al-Amini.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Pekan, manakala jenazah mangsa turut dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkatan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.



