KUALA LUMPUR: Pembinaan kapal misi pesisir (LMS) batch 2 berjalan mengikut jadual dengan kapal kedua dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada hujung 2027, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.
Beliau berkata, kapal kedua LMS itu dilancarkan Ahad lalu selepas kontraknya dimeterai pada 2024. “Kita sangat bersyukur kerana semenjak ditandatangani dalam tahun 2024, kemajuan pembinaan kapal-kapal itu mengikut jadual. Pada Ahad lepas kapal kedua LMS kita telah pun dilancarkan dan diberikan nama,” katanya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM 2026 di Wisma Perwira ATM, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kapal pertama dijangka diserahkan kepada TLDM pada Oktober 2027, diikuti kapal kedua pada November dan ketiga pada Disember tahun sama.
Dalam perkembangan lain, Khaled berkata Kementerian Pertahanan menerima permohonan daripada syarikat pertahanan Norway untuk mengadakan perbincangan berhubung tuntutan difailkan kerajaan terhadapnya. Bagaimanapun, beliau menegaskan proses tuntutan itu masih diteruskan. “Kita memang ada terima permintaan daripada syarikat untuk berbincang. Apa pun tuntutan kita masih jalan. Kita belum jumpa dan kita tak tahu apa yang dia nak bincang,” katanya.
Sebelum ini, Khaled dilaporkan berkata Kementerian Pertahanan menuntut pampasan melebihi RM1 bilion daripada syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace AS, susulan pembatalan lesen eksport sistem peluru berpandu naval strike missile (NSM) yang diperoleh Malaysia bagi program kapal tempur pesisir (LCS).
Katanya, Malaysia sudah membayar kira-kira 95% daripada nilai kontrak bernilai €126 juta (sekitar RM583 juta), manakala tuntutan keseluruhan turut merangkumi kos tidak langsung termasuk pengubahsuaian dan integrasi sistem persenjataan alternatif bagi kapal terbabit.
Pada Mei lalu, kerajaan Norway menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi pertahanan tertentu atas alasan kawalan eksport lebih ketat, sekali gus menjejaskan pembekalan sistem NSM untuk LCS Malaysia.



