Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya sehingga cedera dalam kejadian pada Ahad lalu.
Tertuduh, Faizzul Ridwan Ab Rahman, 36, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas membuat pengakuan terhadap pertuduhan, menurut laporan Sinar Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 41 tahun di sebuah kediaman di Jalan Damai, Kampung Paya Rumput, Melaka Tengah. Kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi pada Ahad lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 323, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan di bawah seksyen berkenaan jika melibatkan pasangan.
Mengikut fakta kes, tertuduh telah meminta wang daripada isterinya untuk membeli dadah tetapi ditolak kerana pengadu tidak mempunyai wang. Tertuduh kemudian menggunakan telefon isterinya untuk menghubungi ibu dan adik kandungnya untuk meminjam wang namun tidak dilayan kerana keluarganya mematikan panggilan.
Sebelum itu, tertuduh menendang isterinya di bahagian paha kerana wanita itu enggan bercakap dengan ibunya untuk meminjamkan wang selain memaksa pengadu keluar mencari wang RM100 untuk dia membeli dadah. Tertuduh turut mengarahkan isterinya membayar denda RM1,000 bagi kes dadah yang dihadapinya yang masih dalam perbicaraan selain mengugut mahu membakar motosikal pengadu jika tidak berbuat demikian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek.
Nur Zaidah mencadangkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana sebagai suami, dia sepatutnya menjadi pelindung bukan menyakiti isterinya. Izzuddin bagaimanapun memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 dan menanggung dua anak.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkap pada Ahad lalu.



