KUALA LUMPUR, 2 Julai — Kerajaan sedang memuktamadkan pindaan kepada undang-undang berkaitan untuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pencerobohan, vandalisme dan kecurian yang melibatkan aset kereta api, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Pindaan undang-undang untuk hukuman lebih berat
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pindaan tersebut akan, antara lain, memperkenalkan hukuman lebih berat bagi pesalah kecurian kabel dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
“Banyak perkara perlu dipinda kerana undang-undang sedia ada terlalu lemah. Bayangkan, pencerobohan hanya boleh didenda RM500 hingga RM1,000 sahaja. Kecurian kabel yang melibatkan isu keselamatan akan dikenakan hukuman berat,” katanya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai tindakan yang diambil untuk membendung kecurian kabel kereta api dan jumlah insiden kecurian yang berlaku dalam tempoh tiga tahun lepas.
393 insiden kecurian kabel dalam tiga tahun
Hasbi berkata sebanyak 393 insiden kecurian kabel direkodkan dalam tempoh tiga tahun lepas membabitkan 19,756 meter kabel dengan anggaran kerugian RM16.3 juta.
Untuk membendung jenayah itu, beliau berkata kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang diperkukuh, termasuk usaha mendekati pengusaha dan peniaga besi buruk bagi memastikan mereka tidak membeli barang curi.
“Pendekatan ini penting untuk memutuskan rantaian pasaran barang curi dan mengurangkan insentif kepada penjenayah,” katanya.
Inisiatif teknologi dan pengawasan dipertingkat
Beliau berkata pelbagai inisiatif juga dilaksanakan, seperti pemasangan 1,146 unit sistem kamera litar tertutup pintar berasaskan kecerdasan buatan di lokasi berisiko tinggi oleh Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dengan kos RM14 juta.
Selain itu, penggunaan dron juga diperkenalkan untuk mengukuhkan pemantauan udara di kawasan tumpuan yang sukar diakses melalui rondaan biasa.
Keretapi Tanah Melayu Berhad juga menerima kelulusan untuk memperoleh 20 unit motosikal scrambler bagi Polis Bantuan untuk meningkatkan rondaan, mempercepatkan respons insiden dan mengukuhkan kehadiran penguat kuasa di kawasan landasan berisiko. — Bernama



