Malaysia kekal komited perkukuh Asean sebagai komuniti berdaya saing
Malaysia komited perkukuh Asean sebagai komuniti berdaya saing

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memainkan peranan konstruktif dalam memperkukuh Asean sebagai komuniti berdaya tahan, inklusif dan mampu memenuhi aspirasi rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata komitmen itu dizahirkan ketika menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Asean Dr Kao Kim Hourn selepas menyampaikan ucaptama dan menghadiri sesi soal jawab pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39, di sini, hari ini.

Perbincangan isu serantau dan geopolitik

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, mereka turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan keutamaan kesatuan itu dalam mendepani landskap geopolitik dan ekonomi yang semakin mencabar.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kami juga menyentuh perkembangan di Myanmar, situasi di Laut China Selatan, kemajuan kecerdasan buatan, pascapenyertaan penuh Timor-Leste dalam Asean, pelaksanaan Asean Community Vision 2045 serta implikasi konflik di Asia Barat terhadap rantau ini,” katanya.

Prinsip perpaduan dan kerjasama erat

Perdana menteri turut menegaskan Asean mesti terus berpegang kepada prinsip perpaduan, pemusatan dan kerjasama yang erat agar rantau ini kekal aman, stabil serta makmur.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga