Bagaimanakah luhurnya keputusan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) dalam pelantikan dan pemecatan Undang? Semua pertikaian yang dibawa ke mahkamah sebelum ini gagal mengubah keputusan DKU. Secara ringkasnya, saya ingin mengulas persoalan ini berlandaskan fakta dan sejarah.
Kes Terdahulu Gagal Mencabar DKU
Untuk pengetahuan semua, selain daripada keputusan DKU pada 17 April, terdapat lima kes terdahulu yang membabitkan cabaran keputusan DKU di beberapa peringkat mahkamah sejak 1984 hingga 2018. Pertikaian pernah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan (1984), Mahkamah Rayuan (1998), Mahkamah Tinggi (2005, 2012 dan 2018). Semua pertikaian yang dibawa ke mahkamah-mahkamah ini telah gagal menukar keputusan DKU. Saya cerakinkan di sini apakah sebabnya semua keputusan mahkamah memihak kepada DKU.
Perlembagaan Menjadi Rujukan
Menurut Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, sebarang pertikaian berkenaan perlembagaan sesuatu Negeri hendaklah diputuskan mengikut Perlembagaan Negeri tersebut. Oleh itu, dalam konteks Negeri Sembilan, rujukan hendaklah dibuat kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan (UUTNS). Maka berdasarkan Perkara 16 UUTNS, DKU adalah pemutus muktamad untuk pertikaian berkenaan adat, pelantikan dan pemecatan Undang.
Perkara 16 (3) UUTNS dengan jelas mempertuntukkan bahawa nasihat DKU berkenaan pemilihan atau perlucutan jawatan mana-mana Undang adalah muktamad. Ia sama sekali tidak boleh dipertikaikan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah di atas sebarang alasan. Begitulah besarnya Keluhuran DKU, keputusan yang tidak boleh dicabar.
Contoh Kes Sg Ujung
Malah, salah satu daripada lima pertikaian keputusan DKU yang tidak mampu dicabar mahkamah ialah pertikaian terhadap keabsahan Undang Sg Ujung, yang menyebelahi Mubarak Dohak ketika itu. Ia berdasarkan pengesahan DKU. Dalam kes terbaru, setelah DKU mengesahkan pemberhentian Undang Luak Sungei Ujong, sudah tentunya kerajaan negeri harus menghormati keputusan DKU sebagai muktamad.
Menteri Besar Tidak Wajar Dipersalahkan
Maka sekali lagi ditegaskan bahawa Menteri Besar Aminuddin Harun dan kerajaan negeri berpegang teguh kepada keputusan DKU yang telah mengesahkan pemberhentian Undang Luak Sungei Ujong. Justeru itu, dengan penjelasan fakta-fakta di atas, bagaimana mungkin keputusan DKU 17 April mampu dicabar mahkamah? Secara kesimpulannya jika konteks ini benar-benar difahami, maka adalah tidak wajar menteri besar dipersalahkan dan diheret kononnya mencampuri urusan Adat. Melainkan, ada udang di sebalik batu.
Edy Noor Reduan adalah timbalan ketua penerangan PKR Negeri Sembilan. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



