Insiden Penjara Taiping: Seorang Pegawai Didakwa, Lima Lagi Tindakan Disiplin
Insiden Penjara Taiping: Pegawai Didakwa, Lima Tindakan Disiplin

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa seorang anggotanya telah didakwa di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan berikutan insiden yang berlaku di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025.

Jabatan itu dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa hasil siasatan bebas dan menyeluruh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membawa kepada prosiding tindakan disiplin terhadap lima lagi kakitangan penjara di peringkat jabatan.

Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Penjara untuk menegakkan prinsip akauntabiliti tanpa melindungi mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang tanpa mengira pangkat atau jawatan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Jabatan mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sebarang bentuk salah laku dan menghormati sepenuhnya proses perundangan yang sedang berjalan tanpa prejudis terhadap siasatan,” kata kenyataan itu sebagai respons kepada Laporan Siasatan Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Sebelum ini, media melaporkan insiden provokasi yang didakwa berlaku di Penjara Taiping pada Januari 2025 semasa proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E yang mengakibatkan kematian tahanan, Gan Chin Eng.

Sementara itu, Panel Siasatan Awam SUHAKAM dalam keputusan muktamadnya berhubung siasatan ke atas rusuhan itu turut mengesyorkan agar Penjara Taiping dijadikan muzium kerana tidak lagi sesuai digunakan sebagai penjara.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Penjara melalui Kementerian Dalam Negeri komited untuk meneruskan agenda memodenkan infrastruktur penjara termasuk merancang pembinaan kompleks baharu bagi menggantikan institusi yang uzur itu.

Menurut kenyataan itu, Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan adalah antara institusi yang dikenal pasti amat memerlukan penggantian.

Pembinaan kemudahan baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif adalah penting untuk meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh keselamatan dan menjaga kebajikan prospek serta pegawai penjara. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga