Gangguan MyIMMs berpunca masalah teknikal dalaman, bukan serangan siber
Gangguan MyIMMs punca teknikal dalaman, bukan serangan siber

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa gangguan sementara yang melibatkan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang menjejaskan operasi pemeriksaan dan pemprosesan di beberapa pintu masuk negara hari ini tidak melibatkan sebarang insiden keselamatan siber.

Punca gangguan dikenal pasti

KDN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan gangguan itu berpunca daripada masalah teknikal dalaman yang menjejaskan operasi sistem selama kira-kira tiga jam 45 minit sebelum pemulihan segera dilaksanakan.

Menurut kementerian itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama pasukan teknikal berkaitan bertindak pantas sebaik sahaja insiden itu dikesan dan sistem berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 45 minit selepas kerja pemulihan dimulakan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Tiada kebocoran data

“KDN ingin menegaskan bahawa gangguan yang berlaku tidak melibatkan sebarang insiden keselamatan siber. Tiada kebocoran, kehilangan atau kerosakan data direkodkan dan semua maklumat yang disimpan dalam sistem kekal selamat dan terjamin,” menurut kenyataan itu.

KDN menyatakan bahawa kementerian sedar sistem kritikal yang beroperasi secara berterusan dan mengendalikan jumlah transaksi yang tinggi memerlukan pemantauan dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan kestabilan dan ketahanan sistem berada pada tahap optimum.

Peningkatan sistem berperingkat

“Pada masa yang sama, proses menaik taraf sistem MyIMMs kepada MyNIISe sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan kapasiti, keupayaan dan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna dan gangguan terhadap operasi sedia ada telah diambil kira,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, KDN berkata JIM sedang melaksanakan beberapa langkah pengukuhan termasuk meningkatkan kapasiti storan dan infrastruktur sistem, memperkukuh mekanisme pemantauan masa nyata, menambah baik pelan pemulihan gangguan dan mempercepatkan pelaksanaan projek naik taraf MyIMMs bagi meningkatkan ketahanan dan kebolehpercayaan sistem pada masa hadapan.

KDN turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa tempoh gangguan dan menghargai kesabaran serta kerjasama mereka. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga