Dua penunggang Ducati didakwa lakukan aksi wheelie berbahaya di SPE
Dua penunggang Ducati didakwa aksi wheelie di SPE

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan aksi ‘wheelie’ berbahaya di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) awal bulan ini.

Tertuduh mengaku tidak bersalah

Khairul Azham Mohd Noor, 36, yang bekerja sebagai kerani, dan Nashril Rosli, 31, seorang mekanik, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan.

Mengikut pertuduhan, Khairul Azham yang menunggang Ducati Hypermotard 950, dan Nashril yang menunggang Ducati Panigale, dituduh mengangkat roda hadapan motosikal mereka sejauh 80 meter dengan cara berbahaya, menimbulkan risiko tinggi dan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 11.00 pagi, 9 Mei di Kilometer 6.5 Lebuhraya SPE, dalam perjalanan dari pusat bandar ke arah Putrajaya.

Kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun menawarkan jaminan RM2,000 bagi Nashril dan RM3,000 bagi Khairul Azham, masing-masing dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Akmal Taufiq dan Infa Rozana yang mewakili Khairul Azham dan Nashril masing-masing merayu jaminan lebih rendah dengan alasan anak guam mereka adalah pencari nafkah utama keluarga dan tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Julai untuk sebutan kes Nashril, serta 10 Julai untuk Khairul Azham.

Sebelum ini, video menunjukkan aksi berbahaya dua penunggang motosikal itu tular di media sosial, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya, sebelum mereka ditangkap polis di kediaman masing-masing pada 16 Mei. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga