KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan ugutan oleh ahli perniagaan Albert Tei.
Menurut laporan Sinar Harian, Azam tiba kira-kira jam 9 pagi dan memberikan kerjasama penuh kepada penyiasat.
“Proses rakaman keterangan mengambil masa kira-kira dua jam, di mana saya menjawab soalan yang diajukan oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi.
Azam menafikan semua dakwaan yang dibuat oleh Tei. Beliau juga memaklumkan kepada polis bahawa beliau tidak pernah bertemu atau mempunyai sebarang urusan dengan ahli perniagaan tersebut.
“Saya juga tidak pernah menghantar mana-mana peguam untuk menemui mana-mana pihak bagi pihak saya.
“Saya menyerahkan bukti kepada pegawai penyiasat yang menunjukkan saya tidak pernah bertemu atau berurusan secara langsung dengan Albert,” katanya.
Polis sebelum ini memaklumkan bahawa Azam akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan Tei bahawa beliau telah diancam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata Tei membuat laporan pada 13 Mei lalu.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan dan nasihat selanjutnya.



