Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menolak senarai kononnya calon partinya untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor yang tular di media sosial sebagai palsu.
"Tolong jangan sebarkan atau forward maklumat yang tidak sah atau palsu," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut berkongsi gambar dokumen yang menyenaraikan 15 calon kononnya DAP untuk PRN tersebut.
BN juga nafi senarai calon tular
Semalam, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Johor, Abdul Halim Suleiman turut menafikan senarai kononnya calon BN yang tular di media sosial.
Menurut senarai itu, MCA akan bertanding di sembilan kerusi, manakala MIC di dua kerusi dan Umno bakal bertanding di kerusi selebihnya.
Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada Isnin lalu, membuka jalan kepada PRN kali ke-16 untuk diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.
DAP pertahan 10 kerusi
Pada April lalu, Teo berkata DAP akan mempertahankan 10 kerusi yang dimenanginya dalam PRN 2022, sementara perbincangan peruntukan kerusi dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH) masih berjalan.
Gabungan BN pimpinan Umno membentuk kerajaan Johor selepas PRN Mac 2022 dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi. PH memenangi 12 kerusi, dengan DAP memenangi 10, PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional memenangi tiga kerusi manakala Muda yang bertanding di bawah tiket PH memenangi satu kerusi.



