Tiga lelaki yang dipercayai ahli kongsi gelap dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas pertuduhan menetak seorang lelaki menggunakan parang di khalayak ramai sehingga maut, pada Mac lalu.
Tertuduh, Pan Wei Siang, 24; Henry Lau Yi Sheng, 26; dan Tan Ah Chai, 32, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lee Kim Kiat, menurut laporan media tempatan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Tong Wee Sheng, 38, di tepi rumah di Batu 9, Bukit Kangkar, Sungai Mati pada jam 7.20 petang, 13 Mac lalu. Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali jika tidak dikenakan hukuman gantung.
Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian mengendalikan pendakwaan, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. Mohd Razak Shariff hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa. Amirah memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu kerana belum menerima laporan forensik dan bedah siasat, serta tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan kes disebut semula pada 14 Julai ini untuk serahan dokumen. Di mahkamah sama, Ah Chai turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menganggotai pertubuhan 'Hong Hong San' yang tidak didaftarkan. Kesalahan itu dilakukan di IPD Tangkak pada jam 7.45 petang, 28 April lalu, dan dakwaan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Pertubuhan 1966 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 43 akta sama. Kes disebut semula pada 9 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.



