Polis mengesan taktik baharu sindiket antarabangsa yang menggunakan tempahan penerbangan saat akhir dan waktu puncak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyeludup dadah. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata seramai 50 individu disyaki menjadi keldai dadah ditahan di KLIA dari tahun lepas hingga April tahun ini.
Rakyat tempatan paling ramai
Daripada jumlah itu, 25 individu ditahan tahun lepas membabitkan lima warga Taiwan, masing-masing tiga dari Britain dan Maldives serta dua Indonesia. Sehingga April tahun ini, 25 lagi ditahan termasuk tujuh warga tempatan, diikuti Britain (lima), Singapura (empat), Perancis (tiga), Indonesia (dua) serta masing-masing seorang dari Hong Kong, Thailand, Slovakia dan Ireland.
Taktik baharu sindiket
Hussein berkata sindiket menggunakan tempahan penerbangan saat akhir atau waktu puncak bagi mengelak dikesan. “Sindiket menggunakan pelbagai modus operandi seperti peluang pekerjaan palsu, pakej percutian percuma dan ganjaran kewangan lumayan yang menyasarkan individu berhadapan tekanan kewangan atau kurang kesedaran mengenai risiko jenayah itu,” katanya. Beliau menambah mangsa diperdaya untuk membawa barangan tanpa mengetahui kandungan sebenar, dengan dadah disorok secara kreatif dalam bagasi, pakaian, barangan peribadi dan melalui kaedah ‘body packing’.
Lapangan terbang laluan utama
Pemantauan JSJN mendapati lapangan terbang masih menjadi laluan utama sindiket menyeludup dadah menggunakan keldai dadah, khususnya membabitkan rangkaian antarabangsa. Manakala pelabuhan dan pintu masuk sempadan darat menggunakan modus operandi berbeza.
180 rakyat Malaysia ditahan di luar negara
Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata sebanyak 180 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana menjadi keldai dadah dari 2024 hingga April lepas. Ia membabitkan 84 orang pada 2024, 66 orang (2025) dan 30 orang setakat April 2026. “Walaupun angka ini menunjukkan penurunan, namun jumlah itu masih membimbangkan. Antara negara merekodkan tangkapan rakyat Malaysia ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan,” katanya.
Kerjasama antarabangsa
JSJN bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa luar negara melalui perkongsian risikan, operasi bersama dan pertukaran maklumat bagi mengenal pasti serta melumpuhkan rangkaian sindiket. Maklumat risikan hasil soal siasat terhadap individu ditahan di Malaysia akan disalurkan kepada agensi penguat kuasa negara terbabit.
Nasihat kepada orang ramai
Hussein menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran atau ganjaran mencurigakan serta tidak membawa barangan milik orang lain tanpa mengetahui kandungannya, khususnya di lapangan terbang. Penglibatan dalam aktiviti itu boleh membawa kepada hukuman sangat berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati di beberapa negara.



