KUALA LUMPUR: Seramai 11 lelaki telah didakwa di Mahkamah Sesi di sini hari ini atas tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai 'Geng RT6' sejak tahun 2020.
Kesemua tertuduh terdiri daripada A. Raja Ratanam, K. Sunthreson, C. Vijaya Kumar, N. Nadarajah, T. Raman, R. Vijayan, M. Kumaaran, N. Harichandran, S. Maran, Suwaran Singh Minder Singh dan Mohammad Atif Khan Mohammad Ali Khan, yang berusia antara 22 hingga 48 tahun.
Mereka semua mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, tetapi tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi anggota kumpulan jenayah terancang di daerah Sentul antara 14 Januari 2020 hingga 27 April 2026. Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah menolak permohonan jaminan bagi kesemua tertuduh dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim dan Yazid Mustaqim Roslan, manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Datuk Rajpal Singh, Eu Kah Mun, M. Mathaven, Grace Francis, Muhammad Izzhar Idris, S. Kirthen, S. Premila dan Kelvin Francis. Nadarajah dan Raman tidak diwakili peguam.



