KUALA LUMPUR: Dua individu termasuk wanita yang dipercayai memalsukan penculikannya bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM18,000 direman 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata reman berkenaan diperoleh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor, hari ini.
Dibawa ke Sarawak untuk siasatan lanjut
“Dua individu terbabit akan dibawa ke Sarawak bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan,” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurut Kumar, wanita berusia 20-an itu ditahan selepas ditemukan ‘selamat’ dalam serbuan Ops Scorpion di sebuah rumah di Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru pada 3.30 petang semalam.
Laporan ibu mencetuskan operasi
Beliau berkata, operasi itu digerakkan susulan laporan dibuat ibu wanita berkenaan berusia 43 tahun di IPD Padawan, Sarawak, pada Jumaat yang mendakwa anak perempuannya diculik individu tidak dikenali. Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes dadah dan jenayah selain merampas empat telefon bimbit.
Naratif meragukan
Bagaimanapun, Kumar berkata siasatan awal mendapati naratif kejadian culik yang didakwa mangsa adalah meragukan, lantas membawa kepada penahanan wanita itu bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.



