Seorang bekas setiausaha politik kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Hamzah Zainudin, meluahkan rasa tidak puas hati selepas sebuah syarikat yang memperoleh kontrak penyelenggaraan polis didakwa gagal membayar komisen RM2 juta kepadanya, Mahkamah Sesyen diberitahu hari ini.
Saksi terangkan pertemuan dan aduan
Perunding bebas di Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB), Khairul Nizam Sayuti, 53, memberikan keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad. Menurut Khairul, Sayed tidak berpuas hati dengan pengarah urusan NSB, Wan Azhar Yusof, berhubung komisen yang didakwa tidak dibayar.
Khairul berkata, Sayed membangkitkan perkara itu dalam pertemuan di pejabatnya di Publika pada 29 Januari 2021, kira-kira tiga bulan selepas NSB memperoleh kontrak bernilai RM381,112,042 untuk menyelenggara dan membekalkan alat ganti bagi infrastruktur, pelayan, perisian serta sistem radio RMPNET polis.
“Sayed mengadu dia tidak puas hati dengan Wan Azhar kerana bayaran yang diterima tidak mencukupi dan tidak dibuat mengikut jadual, dan masih terdapat baki tunggakan sebanyak RM2 juta. Saya hanya mendengar dan menasihati Sayed supaya patuh perjanjian yang telah dibuat,” katanya dalam pernyataan saksi.
Wan Azhar dakwa kerajaan belum bayar
Khairul berkata, Wan Azhar kemudian memberitahunya, jika Sayed menghubunginya lagi mengenai bayaran itu, beliau harus memberitahu bahawa dia ‘menyerah kalah’ kerana kerajaan belum menyalurkan bayaran.
Semasa pemeriksaan utama, Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan menyoal lebih lanjut mengenai dakwaan komisen RM2 juta itu. Tan bertanya: “Apa maksud kamu tunggakan RM2 juta?” Khairul menjawab: “Itu yang Sayed beritahu saya. Saya tak tahu berapa banyak sebenarnya dia telah terima, atau sama ada jumlah tersebut sebahagian perjanjian mereka.”
Tan kemudian bertanya: “Apa yang Sayed adukan kepada kamu, bukan Wan Azhar?” Khairul menjawab: “Saya rasa Sayed sudah cuba hubungi Wan Azhar, tetapi Wan Azhar tidak lagi jawab panggilan atau mesejnya. Itulah sebabnya dia minta saya sampaikan pesanan kepada Wan Azhar.”
Tan: “Bagaimana sikapnya ketika mengadu kepada kamu?” Khairul: “Menerusi bahasa tubuhnya, (saya lihat) dia jelas tidak puas hati dengan Wan Azhar. Bunyinya seperti kecewa dan marah.”
Perbincangan awal projek RMPNET
Dalam pernyataan saksinya, Khairul mendakwa, beberapa bulan sebelum NSB menerima surat setuju terima kerajaan untuk projek itu, Wan Azhar memberitahunya Sayed mempersoalkan mengapa dia tidak dirujuk berhubung projek RMPNET, sedangkan dia boleh membantu mendapatkannya.
Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, Sayed kemudian melawat pejabat NSB bersama seorang rakan dikenali sebagai ‘Datuk Seri Khairi’ untuk membincangkan projek itu. “Semasa pertemuan itu, Khairi memberitahu kami, komisen 5% akan dikenakan untuk membantu syarikat Bumiputera mendapatkan projek, manakala bagi syarikat bukan Bumiputera komisen antara 5% hingga 10%.”
Khairul berkata, dia hanya mendapat tahu kemudian bahawa Wan Azhar telah memeterai perjanjian komisen dengan Sayed dan Khairi. Bagaimanapun, dia tidak tahu terma perjanjian itu dan tidak pernah melihat dokumennya. Katanya, Wan Azhar hanya memberitahu komisen dinyatakan dalam bentuk peratusan kerana nilai kontrak belum ditentukan.
Khairul turut memberi keterangan bahawa pada 4 Disember 2020, Wan Azhar memberitahunya beliau akan berjumpa Sayed untuk membayar ‘cukai’, yang difahaminya sebagai komisen.
Aturan subkontrak projek RMPNET
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Yaacob Sam, yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan, soal siasat tertumpu kepada aturan subkontrak bagi projek RMPNET, yang pada asalnya dianugerahkan kepada Motorola Solutions Sdn Bhd pada 2008.
Ketika ditanya sama ada Motorola telah melantik dua subkontraktor, iaitu NSB dan Masterplan Consulting Sdn Bhd, tempat Khairul bekerja sebelum ini, saksi itu berkata hanya Masterplan Consulting yang dilantik secara terus oleh Motorola.
Yaacob bertanya: “Jadi apa peranan Nexus (NSB)?” Khairul menjawab: “(Syarikat itu) subkontraktor Masterplan.” Yaacob: “Jadi Masterplan subkontraktor Motorola, dan Nexus subkontraktor Masterplan?” Khairul: “Ya.” Yaacob: “Adakah kerajaan dimaklumkan (tentang aturan ini)?” Khairul: “Tidak perlu kerana kontraktor utama kerajaan ialah Motorola.”
Menjawab soalan Yaacob sama ada kontraktor utama akan bertanggungjawab ke atas subkontraktor lapis kedua sekiranya timbul sebarang isu, Khairul berkata, tanggungjawab itu terletak pada subkontraktor lapis pertama.
Pertuduhan terhadap Sayed
Sayed didakwa pada 23 Mei 2024 atas dua tuduhan menerima rasuah RM350,000 daripada Wan Azhar. Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku di Solaris Dutamas pada 4 petang 4 Disember 2020, dan 3.30 petang pada 16 Disember 2020.
Dia juga didakwa meminta rasuah wang tunai RM350,000 daripada individu sama untuk tujuan sama di pejabat NSB di kawasan perindustrian Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, pada awal Disember 2020.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad bersambung pada 19 Ogos.



