Seorang suri rumah menjadi individu pertama yang didakwa di mahkamah atas kesalahan menyebarkan berita palsu berkaitan kenaikan harga bahan api. Tertuduh, Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman di Mahkamah Sesyen Sepang.
Pertuduhan Mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia
Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Nor Sayikilla didakwa menggunakan platform Threads melalui akaun ‘@cek_apple95’ dan secara sedar membuat serta memulakan penghantaran komunikasi yang palsu. Kandungan tersebut telah dilihat pada 31 Mac lalu, kira-kira jam 4:00 petang, di Menara SKMM 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Jaminan RM4,000 dengan Seorang Penjamin
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Selain itu, mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azmir Mohd. Razali, manakala tertuduh diwakili peguam, Rafique Rashid Ali.
Permohonan Jaminan Rendah Ditolak
Terdahulu, Azmir memohon wang jaminan ditetapkan RM10,000 dengan seorang penjamin. Namun, Rafique memohon jaminan paling minima diberikan iaitu RM500. Rafique berkata, anak guamnya adalah seorang suri rumah dan mempunyai dua anak, di mana seorang daripadanya adalah Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan. Suami tertuduh bekerja di kampung. Tertuduh bersama suami juga turut menanggung abang ipar yang juga OKU.
Hakim Ahmad Fuad menegaskan bahawa jumlah jaminan setiap kes ditetapkan berdasarkan keseriusan kes serta kepentingan untuk membendung perbuatan seumpama itu daripada berleluasa dalam masyarakat. Katanya, undang-undang sedia ada tidak boleh dilenturkan semata-mata untuk memberi kelonggaran kepada tertuduh.



