PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak membekukan 33 akaun dengan anggaran RM150 juta berkait siasatan kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata setakat ini daripada tiga tangkapan yang dilakukan, dua individu direman dan 11 saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan. Beliau turut memaklumkan bahawa 40 saksi telah dikenal pasti untuk dipanggil.
“SPRM menyita aset tidak alih dianggarkan bernilai RM27 juta melibatkan empat bidang tanah, tujuh unit rumah, tiga premis pejabat, 18 kereta, dan barangan kemas. Selain itu, 33 akaun bank dibekukan dengan jumlah anggaran RM150 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Kuala Pilah, sempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani).
Sebelum ini, SPRM mengesahkan kes itu melibatkan penyelewengan kira-kira RM230 juta daripada sumbangan orang awam dan bukan dana zakat. Azam berkata, siasatan mendapati NGO itu menerima dana daripada pelbagai sumber termasuk komisen daripada kutipan tertentu yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan.
Dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO, direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Azam memaklumkan SPRM akan memanggil 14 hingga 15 saksi bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana NGO milik seorang pendakwah bebas di Negeri Sembilan. SPRM Negeri Sembilan sebelum ini menahan seorang pendakwah bebas yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi. Lelaki berumur lingkungan 30-an itu direman selama lima hari hingga esok.
“Bagi kedua-dua kes ini mungkin akan berlaku sedikit kelewatan kerana kita perlukan masa untuk mendapatkan dokumen bank bagi di Selangor bagi tempoh 2018 hingga 2022, manakala bagi 2023 hingga 2025 berdasarkan pengalaman saya ia mudah diperoleh,” katanya.
Azam juga memaklumkan, proses siasatan kedua-dua kes terbabit kemungkinan akan mengambil sedikit masa kerana SPRM perlu mendapatkan maklumat daripada institusi bank.
“Kedua-dua kes ini, selain daripada kita membuka kertas siasatan untuk melihat kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, kita juga melihat pada kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang.
“Kita juga melihat kesalahan pecah amanah dan telah membuka fail kesalahan pengubahan wang haram bagi kedua-dua kes,” katanya.



