Polis Kontinjen Negeri Sembilan telah membuka dua kertas siasatan berhubung kesalahan pilihan raya yang melibatkan perbuatan khianat sehingga menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda pada awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Negeri Sembilan.
Dua Laporan Polis di Kuala Klawang
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Azfanny Ahmad berkata, pihaknya menerima tiga laporan berkaitan pilihan raya dalam dua hari pertama kempen, dengan dua daripadanya membawa kepada pembukaan kertas siasatan.
“Kejadian berlaku di Kuala Klawang, Jelebu, di mana pengadu melaporkan bahawa bendera, kain rentang dan panji-panji parti PH telah dirosakkan dan dibuang ke dalam longkang. Selain itu, terdapat calaran pada bumper sebuah kenderaan yang disyaki dilakukan oleh individu tidak dikenali selepas bendera parti dipasang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kertas siasatan dibuka selepas dua laporan polis dibuat di Kuala Klawang semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda.
Keselamatan Keseluruhan Terkawal
Sementara itu, beliau berkata keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya negeri secara keseluruhannya adalah baik dan terkawal melalui pemantauan berterusan serta kerjasama daripada semua pihak.
Azfanny berkata, PDRM setakat ini menerima 109 permohonan permit politik, dengan 107 diluluskan selepas penganjur memenuhi syarat yang ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa polis akan terus memperkukuh kesiapsiagaan, pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan sepanjang tempoh pilihan raya, serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap sesiapa yang didapati melanggar undang-undang.
“Orang ramai juga diminta terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi dan bekerjasama dengan PDRM bagi memastikan pilihan raya negeri berjalan dengan aman, harmoni dan teratur,” tambahnya.
Tarikh Penting PRN Negeri Sembilan
Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 28 Julai sebagai hari pengundian awal dan 1 Ogos sebagai hari mengundi bagi PRN ke-16 Negeri Sembilan.
Untuk perkembangan terkini PRN ke-16 Negeri Sembilan, layari https://prn.bernama.com/n9.



