Seorang penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 10 pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan pembekalan mesin dan peralatan perubatan bernilai RM214,382, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Azizul Farid Muhammad, 48, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, menurut laporan Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, tertuduh yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan didakwa menggunakan dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi dokumen Nota Penerimaan Bekalan dan Perkhidmatan yang mengandungi butiran matan palsu.
Dokumen berkenaan membabitkan pembekalan mesin dan peralatan perubatan untuk Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah oleh dua syarikat, sedangkan pembekalan itu sebenarnya tidak dilakukan. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di PKD Alor Gajah antara 19 Jun hingga 29 September 2023.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa’ari yang mengendalikan pendakwaan tidak mencadangkan jaminan, namun memohon mahkamah menetapkan jumlah antara RM40,000 hingga RM50,000 bagi semua pertuduhan sekiranya budi bicara diberikan. Beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh melapor diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Kamarulzaman Jusoh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan selain penjawat awam dan tidak mempunyai risiko melarikan diri. Menurutnya, tertuduh juga menanggung seorang anak berusia 13 tahun yang menghidap penyakit jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.



