James Chai, bekas pembantu kepada bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, selesai dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada malam ini berhubung siasatan kes melibatkan firma semikonduktor terkemuka Arm Holdings Plc.
Proses rakaman keterangan hari ketiga
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Mohd Hafaz Nazar yang dihubungi Bernama mengesahkan proses rakaman keterangan itu selesai kira-kira jam 9 malam tadi. Beliau berkata rakaman keterangan yang memasuki hari ketiga hari ini tidak akan disambung buat masa ini.
Chai yang juga seorang penganalisis politik tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi tadi bagi proses rakaman keterangan untuk hari ketiga. Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan ia berkaitan sebuah projek semikonduktor yang dibiayai kerajaan bernilai RM1.1 bilion.
Latar belakang siasatan
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lepas susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan. Agensi itu pada 1 April lepas memberikan tempoh dua minggu kepada Chai yang ketika itu berada di London untuk tampil membantu siasatan, dengan pihak suruhanjaya bersedia menanggung kos penerbangan pulang ke Malaysia.
Siasatan kes terbabit turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu, yang dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.



