Bekas pembantu Rafizi, James Chai selesai beri keterangan di SPRM
Bekas pembantu Rafizi selesai beri keterangan di SPRM

PUTRAJAYA, 28 April — Bekas pembantu kepada Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern atau dikenali sebagai James Chai, telah selesai memberikan keterangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkaitan siasatan yang melibatkan sebuah syarikat semikonduktor terkemuka dunia.

Beliau dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di sini pada jam 6.30 petang, selepas lebih lapan jam memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes yang membabitkan Arm Holdings Plc dari United Kingdom.

Sebelum itu, James Chai tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 10 pagi dengan ditemani peguamnya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Bagaimanapun, beliau enggan ditemu bual oleh pemberita yang berkumpul di Ibu Pejabat SPRM.

Pada 1 April, SPRM memberikan tempoh dua minggu kepada bekas pembantu menteri ekonomi itu untuk tampil membantu siasatan dan bersedia menanggung kos penerbangan untuknya pulang ke Malaysia.

Pada 16 Februari, SPRM dilaporkan membuka siasatan terhadap perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.

Menurut sumber, siasatan dimulakan berikutan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang mendakwa perjanjian itu dimuktamadkan secara tergesa-gesa dan berat sebelah, yang berpotensi mengakibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan.

Sumber berkata siasatan juga memberi tumpuan kepada unsur konflik kepentingan, kerana beberapa individu didakwa diberikan jawatan kanan dalam syarikat asing itu selepas meninggalkan kementerian berkenaan. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga