KULAI, 5 Julai — Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern, meluahkan kekesalan terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan sabotaj dan perbuatan khianat terhadap bahan kempennya.
Beliau mendedahkan bahawa bendera partinya telah dibuang ke dalam longkang, manakala beberapa papan iklan kempen turut dirobohkan dalam kejadian di Kampung Sri Paya yang dilaporkan semalam.
Laporan polis dibuat
Berikutan itu, Arthur berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Air Bemban bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Kejadian sama juga berlaku di Taman Putri. Papan iklan dan bendera telah disabotaj. Namun, setakat ini kami tidak tahu siapa pelakunya,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama N51 Bukit Batu di sini hari ini.
Walaupun berdepan provokasi sebegini, Arthur menegaskan bahawa perkara itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkempen mempertahankan kerusi tersebut.
Seru politik matang
Beliau sementara itu menyeru semua pihak untuk mengamalkan politik yang matang dan berkempen secara harmoni tanpa melibatkan sebarang elemen permusuhan atau khianat.
Kerusi Bukit Batu akan menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Arthur (PH-PKR), R. Kumaran (BN-MIC), M. Premanand (Muda), G. Tamili (Bersama) serta calon bebas Kamaruzaman Ali.
Pilihan raya Johor
Pilihan raya Johor akan menyaksikan seramai 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN, dengan hari mengundi ditetapkan pada 11 Julai dan pengundian awal pada 7 Julai.
Untuk mendapatkan berita terkini mengenai Pilihan Raya Negeri Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
Berikut adalah senarai calon bagi DUN N51 Bukit Batu yang mempunyai 49,963 pengundi:
- R. Kumaran (BN-MIC)
- Kamaruzaman Ali (Bebas)
- G. Tamili (Bersama)
- Arthur Chiong Sen Sern (PH-PKR)
- M. Premanand (Muda)
(2022: Chiong Sen Sern: PKR: Majoriti 137) — Bernama



