Polis menahan dua pelajar lelaki selepas dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya, dalam Ops Samseng Jalanan di Taman Panchor Jaya di sini, semalam. Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata kedua-dua remaja masing-masing berusia 14 dan 15 tahun yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 itu, ditahan kira-kira 6.45 petang.
Tindakan Agresif Remaja
“Kedua-duanya bertindak agresif dengan cuba melarikan diri dan turut merempuh seorang anggota polis, sehingga menyebabkan kecederaan lebam di kepala, pergelangan kaki kanan, tangan kanan dan pinggang. “Mangsa kemudian menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar dan dibenarkan pulang, selepas pemeriksaan mendapati tiada kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ujian Air Kencing Negatif dan Reman
Beliau berkata hasil ujian air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif dan remaja berusia 14 tahun yang juga penunggang, direman dua hari sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan.
49 Saman Dikeluarkan dalam Operasi
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 49 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi selama enam jam terbabit, termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu dan ubah suai ekzos selain 12 motosikal disita.



