KUALA LUMPUR, 29 Julai — Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, didorong oleh sentimen pasaran yang bertambah baik susulan kenyataan positif Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour semalam serta jangkaan perubahan dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).
Pada pukul 8 pagi, mata wang tempatan meningkat sedikit kepada 4.0880/0940 berbanding dolar AS, berbanding penutupan semalam pada 4.0885/0930.
Kenyataan positif Gabenor BNM tingkat keyakinan pasaran
Seorang penganalisis berkata sentimen pasaran bertambah baik selepas Abdul Rasheed menyatakan bahawa ekonomi Malaysia masih berada di landasan tepat untuk berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus, berkemungkinan menghampiri hujung atas julat tersebut, dengan inflasi yang terkawal pada 2026, walaupun berdepan kejutan bekalan tenaga.
Beliau menambah bahawa asas ekonomi Malaysia, agenda reformasi dan komitmen terhadap pengurusan ekonomi yang baik telah membolehkan kerajaan bertindak balas apabila berlaku kejutan.
Jangkaan keputusan FOMC pengaruhi pergerakan ringgit
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati menjelang keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat malam ini, dengan unjuran sekitar RM4.08-RM4.09 berbanding dolar AS.
“Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS datang lebih rendah daripada jangkaan pada 90.8 mata pada Julai berbanding anggaran konsensus 92.4 mata.
“Berikutan itu, hasil Perbendaharaan AS dua dan 10 tahun masing-masing jatuh sebanyak empat mata asas kepada 4.29 peratus dan 4.61 peratus, menunjukkan bahawa Fed mungkin cenderung untuk mengekalkan kadar tanpa perubahan dalam jangka terdekat,” katanya kepada Bernama.
Prestasi bercampur berbanding mata wang utama dan serantau
Pada pembukaan hari ini, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama. Ia meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.4945/4983 daripada 2.4948/4976 pada penutupan semalam, tetapi jatuh berbanding euro kepada 4.6538/6606 daripada 4.6429/6480 semalam, dan susut berbanding pound Britain kepada 5.4305/4385 daripada 5.4287/4347 sebelumnya.
Ringgit juga diniagakan bercampur berbanding mata wang serantau. Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1625/1675 daripada 3.1603/1640 semalam dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.1775/2016 daripada 12.1494/1681 sebelumnya.
Mata wang tempatan didagangkan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 226.0/226.5 daripada 226.0/226.4 pada penutupan semalam dan kekal rata berbanding peso Filipina pada 6.63/6.64 semalam.
— Bernama



