Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memperkukuhkan peranan badan induk itu dalam memajukan pembangunan belia di negara ini.
Peruntukan tambahan RM1 juta berbanding tahun lalu itu adalah pengiktirafan terhadap peranan MBM sebagai peneraju utama agenda belia negara di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong program pembangunan belia.
“MBM adalah satu-satunya persatuan belia di bawah KBS. Jadi tahun ini, saya setuju untuk menambah kepada RM5 juta… tahun lalu RM4 juta,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini.
Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Peruntukan tambahan untuk pendidikan Islam
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan turut memperuntukkan dana di bawah Program Pembangunan Islam yang memberi manfaat kepada 7,091 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), imam, guru takmir dan kakitangan masjid di seluruh negara, membabitkan komitmen kewangan berjumlah RM42.3 juta.
Perdana Menteri berkata sokongan juga akan diberikan kepada institusi pendidikan Islam seperti pondok, pusat tahfiz, sekolah agama dan premis Kafa yang beroperasi di luar pengawasan Kementerian Pendidikan, dengan peruntukan RM5.4 juta bagi penyelenggaraan dan pengukuhan institusi.
Beliau berkata tiga projek di Negeri Sembilan telah diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, membabitkan peruntukan RM800,000 untuk kerja-kerja pembaikan kecil di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Falah Kuala Sawah Rantau, Madrasah Az-Zaakiriin dan Pondok Pesantren Darul Tauhid.
Pujian terhadap kepimpinan Aminuddin
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memuji ketahanan dan keazaman Aminuddin dalam mengharungi cabaran politik negeri yang berpanjangan sambil terus mengutamakan kebajikan rakyat.
Anwar berkata beliau menghargai kepimpinan teguh Aminuddin dan fokusnya dalam membangunkan negeri walaupun berdepan tekanan politik yang berterusan.
“Saya tabik hormat Menteri Besar Aminuddin atas ketahanan dan semangat yang ditunjukkannya dalam menghadapi pergolakan politik negeri yang tidak pernah berakhir,” katanya. — Bernama



