Pada Khamis 23 April lalu, seorang kawan lama menghantar laporan media melalui WhatsApp bertajuk ‘Agong akan pilih ketua SPRM yang baru’ diiringi komen: “Agong dah tak percaya PMX’s decision making — baginda nak pilih sendiri”. Kawan ini bukan peminat Anwar Ibrahim. Jawapan saya, “well that’s one way of looking at it” tetapi apa-apa pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dibuat atas nasihat perdana menteri. Ini amalan lazim mengikut Perlembagaan, merujuk Perkara 40. Seksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk melantik ketua pesuruhjaya SPRM, atas nasihat perdana menteri.
Agong tentukan calon terbaik
Pada 23 April, Sultan Ibrahim bertitah baginda akan menentukan calon terbaik untuk menerajui SPRM. Pengulas Hafiz Hassan dalam Malay Mail menulis Agong berhak mendapat maklumat pemerintahan negara yang boleh didapati Jemaah Menteri, seperti Perkara 40(1) Perlembagaan. Perdana menteri memaklumkan senarai calon dipersembahkan kepada Agong pada 24 April. Kesimpulan wartawan veteran A Kadir Jasin: “The prime minister provides the list. The King choose whom he pleases.”
Pelantikan Halim Aman
Semalam, Agong memperkenankan pelantikan bekas hakim mahkamah tinggi, Abdul Halim Aman, sebagai ketua pesuruhjaya baharu. Pengumuman dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, berkuat kuasa 13 Mei. Pengumuman itu beberapa jam sebelum perhimpunan anti-Azam Baki di Kuala Lumpur. Saya yakin ‘timing of the announcement’ tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan, apatah lagi untuk membatalkannya kerana penganjur mahu Azam ditangkap, bukan digantikan. Mereka sudah menjatuhkan hukum ke atas Azam, meskipun dia belum berdepan tindakan atau tuduhan pihak berkuasa.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadhil kata siasatan pemilikan saham Azam sudah selesai dengan keputusan muktamad di peringkat tertinggi. Azam tercemar dengan tuduhan penyelewengan, tetapi ‘not guilty until proven’. Penggantian dibuat kerana kontraknya tamat 12 Mei. Sebelum ini kontrak disambung tiga kali setahun: 12 Mei 2023-11 Mei 2024, 12 Mei 2024-12 Mei 2025, 13 Mei 2025-12 Mei tahun ini. Azam pertama kali dicadangkan oleh Muhyiddin Yassin sebagai PM ke-8, dilantik 9 Mac 2020 diperkenankan Sultan Abdullah, menggantikan Latheefa Koya.
Tugas berat nakhoda baharu
‘Public perception’ tidak memihak kepada Azam dan agensinya. Halim selaku nakhoda baharu menggalas tugas berat memastikan SPRM berjalan baik dan memulihkan imej tercalar. Jawatan terakhirnya hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, banyak mengadili kes profil tinggi jenayah. Pada 2019, beliau menjatuhkan hukuman mati tiga individu kes pembunuhan ‘tanpa mayat’ di Klang, jenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan. Tahun sama, Halim menolak rayuan Wan Ji Wan Hussin kes hasutan komen terhadap Sultan Selangor, meningkatkan hukuman setahun penjara merujuk Rukun Negara. Pada 2021, hukuman mati suami pengasuh atas bunuh bayi 11 bulan, perbuatan tidak berperikemanusiaan.
Pengalaman luas Halim mengukuhkan profil sebagai tokoh kehakiman berpengalaman, kini dibawa ke SPRM. Khamis lalu, Agong titah jawatan ketua SPRM penting dalam membantas rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa. Sultan Ibrahim titah: “Saya akan menentukan calon terbaik” dan tidak perlu dipolitikkan. Tiga hari kemudian, baginda laksana janji. Ertinya Halim pilihan terbaik, mesti pikul tanggungjawab dan kepercayaan Agong dan rakyat.



