Kerajaan peruntuk RM2 bilion untuk Felda
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh berita gembira membabitkan peruntukan RM2 bilion bagi meningkatkan kesejahteraan hidup warga Felda, termasuk penyediaan bantuan serta perumahan bagi generasi baharu serta petugas Felda. Inisiatif ini turut melibatkan manfaat kepada warga peneroka melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan literasi digital, pendidikan dan kesihatan, selain menyelesaikan hutang berjumlah RM990 juta yang membelenggu Felda sejak sekian lama.
“Tidak adil untuk menyalahkan peneroka kerana yang berlaku ialah kelemahan pengurusan. Sebab itu kerajaan mengambil tanggungjawab membantu Felda dan memastikan tadbir urus diperkukuh. Justeru, sebanyak RM990 juta disediakan bagi membiayai bayaran balik pinjaman termasuk penghapusan hutang peneroka, selain menyalurkan lebih RM1 bilion lagi pada tahun 2027,” katanya sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Maran.
Jawatankuasa khas selesai isu legasi perumahan
Berhubung isu perumahan generasi baharu, Anwar berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan khusus untuk menyelesaikan isu legasi membabitkan lima inisiatif strategik, termasuk cadangan pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bagi membolehkan pembinaan lebih daripada sebuah rumah di atas satu lot. Draf pindaan berkenaan perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri dan dibentangkan di Parlimen tahun ini.
Sementara pindaan diluluskan, proses pemutihan akan dilaksanakan terhadap kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina dan diduduki sehingga 31 Disember 2025. “Langkah itu membolehkan pemilik mendapatkan penyambungan bekalan air dan elektrik dengan segera,” katanya.
Peruntukan RM150 juta untuk rumah terbengkalai
Bagi isu rumah terbengkalai, Anwar berkata kerajaan meluluskan peruntukan RM150 juta untuk meneruskan pembinaan 554 unit rumah di Johor dan Terengganu untuk manfaat generasi baharu Felda. Tambahan peruntukan RM20 juta turut diluluskan untuk Projek SKF di dua lokasi iaitu Laka Selatan, Kedah membabitkan 86 unit rumah dan Palong 16, Negeri Sembilan sebanyak 100 unit.
“Kedua-dua projek berkenaan kini berada pada tahap kemajuan antara 60 hingga 70% namun berdepan kekangan kekurangan baki peruntukan. Bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu Felda terbela, saya meluluskan tambahan RM20 juta untuk menyelesaikan projek ini,” katanya. Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) bermula sejak 2013 akan dipantau lebih ketat selepas banyak yang mengalami kelewatan.
Lot generasi Felda dibincang dengan MB dan KM
Anwar berkata perkara berhubung lot generasi Felda akan menjadi agenda utama dalam Mesyuarat Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Ogos ini bagi mencari penyelesaian bersama, termasuk kos infrastruktur dan pemberimilikan tanah. Sebanyak 31,954 lot telah dikenal pasti di beberapa negeri, namun lebih 21,000 lot masih belum menerima hak milik.
RM450 juta untuk rumah petugas Felda
Bagi memperkukuh kebajikan warga Felda, kerajaan turut meluluskan RM450 juta bagi membaik pulih dan membina rumah baharu petugas Felda secara berperingkat. Selain itu, sebanyak RM15.85 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kemudahan digital di 317 rancangan Felda.
“Kerajaan juga bersetuju mengembalikan model asal penjualan minyak sawit mentah sebelum penyenaraian FGV bagi meningkatkan keuntungan kilang sawit dan KPF. Ia dijangka menjana tambahan pendapatan sebanyak RM42 juta kepada warga peneroka,” katanya.



