Polis Panggil Azam Baki Bantu Siasatan Dakwaan Ugutan Jenayah
KAJANG, 26 Mei — Polis akan memanggil bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam masa terdekat untuk membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan jenayah membabitkan ahli perniagaan Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan berikutan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 13 Mei lalu.
Beliau berkata setakat ini polis telah selesai merakam kenyataan dua individu iaitu Tei dan peguamnya, yang didakwa bertindak sebagai perantara dalam menyampaikan ugutan tersebut.
Kumar berkata kenyataan Tei dirakam pada minggu yang sama laporan polis dibuat, manakala kenyataan peguamnya diambil semalam.
Siasatan awal mendapati ahli perniagaan itu mendakwa menerima ugutan dan ancaman daripada bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu ketika cuba mendedahkan dakwaan skandal rasuah membabitkan beberapa ahli politik Sabah berprofil tinggi.
“Siasatan lanjut ke atas kes ini masih dijalankan secara telus dan polis memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikannya sebelum sebarang kesimpulan dibuat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.
Kumar berkata kertas siasatan kini berada di peringkat akhir dan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat. — Bernama



