Pemuda PAS Selangor serah memo desak batal Rain Rave Water Music Festival
Pemuda PAS Selangor serah memo batal Rain Rave Festival

Pemuda PAS Selangor Serah Memorandum Desak Pembatalan Rain Rave Water Music Festival

Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, bersama pemimpin Pemuda PAS serta wakil NGO dan gerakan pelajar hadir di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac). Mereka mendesak pembatalan Rain Rave Water Music Festival yang berlangsung dari hari ini hingga 2 Mei di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sukri Omar mendakwa acara tersebut bercanggah dengan nilai adab dan sensitiviti budaya tempatan, serta keperluan menghormati Islam sebagai agama persekutuan dalam penganjuran program berskala besar. “Kita lihat kerajaan hari ini sudah lagi tidak menjaga sensitiviti rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026, Akbal Setia.

Menurut Sukri, memorandum itu mahu Motac memastikan setiap acara dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia melalui tapisan nilai yang lebih ketat bagi mencerminkan budaya tempatan sebenar. Katanya, Motac selaku penganjur bersama mempunyai kuasa untuk menghentikan acara itu, begitu juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Wilayah Persekutuan. “Ia masih bawah kerajaan Malaysia, bukan negara lain. Jadi mereka ada kuasa untuk hentikan serta-merta,” tegasnya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Sukri turut mempersoalkan penganjuran program itu sedangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru kepada penjimatan. “Apatah lagi dalam keadaan rakyat sedang berhumpas pulas untuk hidup tetapi kerajaan masih lagi melaksanakan program seperti ini,” ujarnya.

Turut hadir wakil beberapa NGO seperti Ikatan Muslimin Malaysia, Gerakan Pembela Ummah, serta gerakan pelajar seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia. Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut membantah penganjuran festival itu kerana dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat.

Rain Rave Water Music Festival dijangka menjadi antara tarikan utama Tahun Melawat Malaysia tahun ini, dengan konsep unik menggabungkan muzik, elemen air, dan visual interaktif. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dilapor berkata penganjuran festival itu selari dengan aspirasi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini. Sukri hari ini bagaimanapun mahu Tiong meletakkan jawatan. “Jadi masa untuk menteri ini sudah tamat. Berundurlah supaya kita dapat terus mengangkat budaya dan pelancongan di negara ini ke martabat yang lebih baik,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga