KJ boleh bantu Umno tapi bukan sebagai 'ubat tahan sakit', kata penganalisis
KJ boleh bantu Umno tapi bukan 'ubat tahan sakit'

Penganalisis politik berpandangan bahawa memberikan peranan rasmi kepada Khairy Jamaluddin mungkin boleh membantu menarik sokongan, namun beliau tidak boleh dijadikan 'ubat penahan sakit' untuk Umno. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, bekas ketua Pemuda Umno itu tidak boleh dijadikan sandaran sepenuhnya untuk memulihkan keyakinan rakyat. Sebaliknya, parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu perlu fokus melahirkan pemimpin baharu yang menawarkan idea segar.

KJ lebih berkesan tanpa jawatan rasmi

Menurut Ahmad Zaharuddin, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ mungkin lebih berkesan sekiranya bergerak tanpa jawatan rasmi kerana tidak terikat dengan birokrasi parti. Ini membolehkan beliau mendekati orang ramai, terutama anak muda, menggunakan gaya tersendiri. "Jika KJ diberi jawatan rasmi, ia mungkin menghidupkan sedikit denyut politik, tetapi tetap tidak menyelesaikan masalah asas Umno. Jika parti gagal melahirkan pemimpin muda berwibawa, aura KJ hanya menjadi ubat penahan sakit yang tidak menyembuhkan penyakit sebenar," katanya kepada FMT.

Latar belakang KJ dan Umno

Khairy yang dipecat Umno pada 2023 telah diterima kembali bulan lalu tanpa meletakkan sebarang syarat. Turut diterima kembali ialah bekas naib presiden Hishammuddin Hussein dan tokoh veteran Syed Hamid Syed Jaafar Albar. Kelmarin, Khairy berkata Presiden Zahid Hamidi ada memintanya meneliti 'perkara khusus', namun ia bukan berkaitan jawatan rasmi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pandangan lain: KJ perlu peranan strategik

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpandangan Khairy wajar diberi peranan strategik, termasuk dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi atau menerajui pasukan baharu yang memfokuskan usaha menarik sokongan anak muda. "Wujudkan satu posisi strategik bagi menarik anak muda seperti ketua mobilisasi anak muda yang merentasi sayap Pemuda dan Puteri. Pengalaman KJ dalam politik, kerajaan, radio dan podcast memberi kelebihan kepada Umno mendekati segmen pengundi muda serta pengundi atas pagar," katanya. Beliau juga menyifatkan perbezaan pandangan antara Khairy dan Zahid sebagai perkara biasa dalam politik, dengan merujuk kepada sejarah Dr Mahathir Mohamad yang pernah dipecat sebelum kembali menjadi presiden parti dan perdana menteri.

KJ bukan pucuk baharu

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata Khairy wajar diberikan peranan bersesuaian dengan pengalaman luasnya dalam politik dan kerajaan. Menurutnya, Khairy bukan 'pucuk baharu' dalam politik, sebaliknya pernah memegang beberapa jawatan penting yang membolehkannya menyumbang idea kepada Umno. "Beliau wajar diberikan peranan bersesuaian dengan pengalaman lalu. KJ boleh ketengahkan idea untuk menarik lebih ramai orang menyertai Umno terutama anak muda," katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga