Akmal cabar kerajaan pecat semua menteri Umno jika berani
Akmal cabar pecat semua menteri Umno jika berani

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menegaskan parti itu tidak akan tunduk kepada tekanan pihak lain, termasuk rakan dalam kerajaan, jika prinsipnya dicabar. Beliau berkata, kebelakangan ini ada suara meminta pemimpin Umno dipecat daripada kerajaan seperti gesaan Pemuda DAP terhadap Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan yang juga Adun Rantau, susulan krisis pentadbiran di Negeri Sembilan.

Gesaan pemecatan pemimpin Umno

Menurutnya, Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr N Sathia Prakash turut menyarankan Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail dipecat sebagai exco. Tegasnya, kenyataan itu seolah-olah menunjukkan Umno boleh diugut.

“Kalau benar berani, jangan pilih seorang dua…pecatlah semua menteri, timbalan dan exco dari Umno. Baru rakyat nampak siapa sebenarnya yang takut kepada prinsip Umno.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Umno boleh hilang jawatan dan ditekan kawan serta lawan, tetapi Umno tidak akan sesekali biarkan prinsipnya tergadai,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Festival air dan garis merah

Akmal memuji Presiden Umno, Zahid Hamidi berani menyelar penganjuran Rain Rave Water Music Festival di Bukit Bintang. Jelasnya, tindakan itu menunjukkan Umno tetap bersuara apabila ‘garis merah’ perjuangan parti disentuh.

“Walaupun dengan siapa kita berkawan, tapi apabila prinsip dilanggar, maruah dicabar, garis merah disentuh, Umno akan tegak melawan,” katanya.

Semalam, Zahid menegaskan Umno mahu penganjuran program diteliti supaya selari nilai budaya, agama dan identiti negara susulan kegusaran mengenai festival air berkenaan. Katanya, Umno meminta program seumpama itu diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaan kerana apa juga penganjuran tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga