Pemimpin jangan bertindak impulsif, elak negara tanggung malang, titah Sultan Nazrin
Sultan Nazrin: Pemimpin jangan bertindak impulsif

PUTRAJAYA: Sesebuah negara akan menanggung malang sekiranya mempunyai pemimpin yang memilih untuk bertindak secara impulsif dan melulu mengikut emosi, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah.

Tindakan Pemimpin

Sultan Nazrin yang juga Sultan Perak bertitah, tindakan pemimpin yang melatah dan terburu-buru tanpa berfikir panjang demi mengutamakan kepentingan jangka pendek, hanya akan membawa kerosakan yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Sifat tenang dan keterbukaan serta berhati-hati pemimpin, dalam membuat pertimbangan berasaskan maklumat yang cukup sangat penting ketika membuat keputusan,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan di Masjid Putra hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Bertemakan ‘Madani Dihayati, Ummah Diberkati’, sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun ini dimeriahkan dengan kira-kira 5,000 hadirin. Sultan Nazrin juga akan menyempurnakan pengurniaan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan serta Antarabangsa.

Teladan Peristiwa Hijrah

Mengulas lanjut, baginda bertitah, setiap pemimpin perlu mengambil teladan daripada peristiwa Hijrah, yang membuktikan kepentingan perancangan strategik termasuk tindakan Rasulullah SAW melantik Abdullah bin Uraiqit, yang ketika itu bukan beragama Islam sebagai pemandu jalan kerana sifat amanah, mahir tentang laluan padang pasir dan boleh dipercayai.

“Kisah ini dijadikan contoh bahawa Islam mengiktiraf kepakaran, integriti dan amanah seseorang tanpa prejudis terhadap latar belakang agama, selagi mereka tidak memudaratkan umat Islam,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menegaskan, umat yang hebat bukanlah umat yang sekadar berasa bangga setelah membaca kisah sejarah kejayaan, sebaliknya mereka yang mengambil pengajaran serta rujukan untuk membina masa hadapan yang lebih cemerlang lagi gemilang.

Nilai Perjuangan dan Pengorbanan

Mengenai nilai perjuangan, baginda bertitah ia menjadi tidak bermakna tanpa pengorbanan yang menuntut kesanggupan meletakkan kepentingan yang lebih besar mengatasi kepentingan diri sendiri.

“Pengorbanan menuntut keberanian, ketabahan dan keikhlasan. Pengorbanan memerlukan kesediaan meninggalkan keselesaan, menanggung kesukaran dan menghadapi kesulitan demi mencapai matlamat yang lebih mulia,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan kebimbangan terhadap semangat pengorbanan yang kini kelihatan semakin kabur dalam kalangan ummah dan penghayatannya yang semakin pupus, malah hanya bersifat retorik.

“Ummah wajib difahamkan akan nilai pengorbanan, disemai dengan semangat bersedia berkorban dan menjadikan pengorbanan sebagai budaya hidup, demi kelangsungan negara untuk menghadapi gelora dan gelombang dunia yang semakin mencabar,” titah baginda.

Perpaduan dan Kepimpinan Adil

Sultan Perak itu turut menekankan kepentingan perpaduan dengan mengambil contoh Piagam Madinah, yang berjaya menyatukan penduduk pelbagai kaum dan agama, menerusi sikap toleransi serta kepimpinan yang adil lagi berhikmah.

Baginda bertitah perpaduan dan kerjasama di samping kepimpinan yang adil lagi berhikmah, telah menjadi kekuatan utama membangunkan tamadun Islam.

“Nyatalah kejayaan sesebuah negara amat bergantung pada kesediaan rakyatnya untuk bekerjasama, saling menghormati dan hidup dalam suasana harmoni walaupun terdapat perbezaan daripada segi latar belakang kaum, budaya dan agama, di samping berada di bawah naungan pimpinan pemerintahan yang adil lagi berhikmah,” titah baginda.

Muhasabah Maal Hijrah

Sultan Nazrin mengingatkan umat Islam bahawa sambutan Maal Hijrah bukan sekadar nostalgia atau memperingati tarikh dalam takwim, tetapi detik untuk melakukan muhasabah terhadap segala kesilapan lalu.

“Sambutan Maal Hijrah hendaklah dijadikan detik untuk melakukan muhasabah, mengimbas segala kesilapan yang berlaku, dalam hasrat mahu menyuntik kesedaran, mengingatkan manusia akan sifat alpanya sewaktu manusia dibimbangi semakin ditenggelami gelombang kehidupan duniawi semasa,” titah Sultan Nazrin.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga