Selamat Hari Raya Aidiladha. Menjelang Aidiladha, membaca berita tentang Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, ada yang menggembirakan. Bukan berita beliau dimasukkan ke hospital yang pejabatnya tidak memberi butiran jenis rawatan yang diterima. Umum tahu tahap kesihatan Netanyahu sering menjadi perdebatan di Israel. Itu tidak menggembirakan saya. Yang saya seronok ialah berita kejatuhan Netanyahu semakin hampir. Seronok atas alasan yang jelas. Tidak perlu saya hurai kekejaman dan keganasan tentera Israel di Gaza dan Lubnan. Mereka bertindak atas arahan Netanyahu. Oh ya – beliau juga orang yang memujuk Donald Trump menyerang Iran.
Kejatuhan Netanyahu Semakin Hampir
Semalam The Times of Israel melaporkan Netanyahu mengarahkan IDF meningkatkan serangan di Lubnan atas alasan memburu Hezbollah. IDF – Israel Defense Forces ialah tentera Israel. Penggunaan istilah defense memualkan saya. Memberi gambaran atau mesej konon ia pasukan pertahanan. Mempertahankan. Pada hal ia yang selalu menyerang. Apa pun, apabila ada berita bahawa era pemerintahan sang perdana menteri Israel Netanyahu hampir jatuh, tentulah saya gembira. Rasanya bukan saya seorang begitu.
Rabu lalu, rang undang-undang pembubaran Knesset atau Parlimen Israel diluluskan sekali gus membuka jalan untuk pilihan raya diadakan awal. Ini saya petik laporan Sinar Harian bertarikh 22 Mei. Akhbar itu juga melaporkan bagi sang pengkritik, perkembangan itu dilihat sebagai era kejatuhan Netanyahu. Beginning of the end as I see it untuk pemimpin berusia 76 tahun yang mendominasi politik Israel selama lebih sedekad. Krisis tercetus apabila sekutunya golongan ultra ortodoks yang menjadi tulang belakang Netanyahu menarik sokongan susulan pertikaian mengenai pengecualian khidmat tentera untuk golongan itu. Golongan ultra ortodoks mahu terus dikecualikan daripada khidmat ketenteraan. Namun tekanan semakin kuat menuntut semua komuniti Yahudi memikul tanggungjawab ketenteraan. No exception. Bagi Netanyahu, penarikan sokongan sekutu bermakna kehilangan majoriti di Knesset yang boleh menjatuhkan pentadbirannya pada bila-bila masa. Kehilangan beberapa kerusi sahaja sudah cukup untuk menumbang rejim Tel Aviv.
Bagaimanapun, tiada perkembangan lanjut. Sehingga artikel ini ditulis, Netanyahu masih memegang jawatan perdana menteri – bak bergayut pada dahan yang rapuh. Menurut Reuters, hasil kaji selidik atau tinjauan terbaru menunjukkan Netanyahu akan kalah pada pilihan raya umum yang dijangka diadakan lewat tahun ini. Agensi berita antarabangsa itu juga melaporkan dua musuh politik Netanyahu yang paling hebat sudah berganding bahu untuk menumbangkan pentadbirannya. Mereka ialah pemimpin puak kanan Naftali Bennett dan pemimpin aliran tengah Yair Lapid. Kedua-dua pernah menjadi perdana menteri Israel suatu ketika dulu. Kedua-dua parti mereka bergabung menjadi satu dan diberi nama Together. Menurut Bennett, jika menang beliaulah yang akan jadi perdana menteri.
Gabungan Bennett dan Lapid: Pernah Berjaya, Namun Rapuh
Bennett dan Lapid pernah bergabung tenaga dan berjaya menamatkan pemerintahan 12 tahun Netanyahu pada pilihan raya 2021. Mereka mendirikan pemerintahan campuran dengan majoriti tipis. Pentadbiran itu amat berpecah berhubung isu seperti konflik Israel-Palestin dan hanya bertahan 18 bulan sebelum Netanyahu kembali berkuasa. Meskipun umur tak panjang, yang paling menarik ialah gabungan itu turut dianggotai parti mewakili golongan minoriti Arab, yakni Palestinian by heritage, Israeli by citizenship. Parti mereka diberi nama United Arab List atau UAL. Penyertaan UAL sebagai sebahagian pemerintah mencipta sejarah. Dan ketika itu dilihat sesuatu yang memberangsangkan dalam konteks hubungan Israel–Palestin. Malang hanya tinggal impian.
Kata Reuters, si Netanyahu telah kerap menunjukkan kemahiran politik yang luar biasa untuk terus hidup pada masa lalu. Jelas beliau masih mahu terus berkuasa. Ahad lalu, Netanyahu pos di Telegram gambar tahun 2021 menayangkan Bennett, Lapid bersama sama Mansour Abbas, ketua UAL. Kapsyen berbunyi: They did it once, they’ll do it again. Jelas beliau bermain sentimen anti-Palestin untuk menaikkan kemarahan rakyat Yahudi, sekali gus menimbulkan kemarahan mereka terhadap pasangan Bennett-Lapid kerana berbaik dengan orang Palestin meskipun berwarga negara Israel. Reaksi Bennett? Dengan pantas cuba menumpulkan serangan Netanyahu dengan menegaskan beliau tidak akan menubuhkan koalisi dengan parti Arab lagi. Bukan itu sahaja. Bennett juga menolak sebarang kemungkinan akan menyerah tanah kepada pihak musuh – merujuk matlamat Palestin mendirikan negara bebas di kawasan yang ditakluki Israel.
Oleh itu saya menyatakan, andai Bennett menjadi perdana menteri menggantikan Netanyahu, dasar Israel terhadap Palestin tidak berubah. Sama ada lebih teruk atau ganas berbanding Netanyahu tidak dapat dipastikan. Yang pasti, beliau puak kanan. Jika Lapid bagaimana? Tidak berubah juga dasar terhadap Palestin. Meskipun beliau seorang centrist dan pernah menyatakan mahu rundingan dengan Palestinian Authority diadakan semula. Namun dalam pada itu, tetap berkata: We’re not looking for a happy marriage with the Palestinians but for a divorce agreement we can live with.
Rumusan saya: Walau siapapun menjadi perdana menteri Israel, dasar mereka terhadap Palestin sama dan serupa. Matlamatnya tetap memusnahkan hasrat penubuhan negara Palestin yang merdeka, melakukan pembersihan etnik, mengembangkan kawasan Israel, merampas tanah Palestin dan menakluk keseluruhan bumi Palestin. Maaf jika kata-kata saya itu membuat anda murung pada hari mulia ini. Sesungguhnya saya harap rumusan saya itu salah.



