Shahidan dan Teo bertikam lidah isu lantik ahli politik dalam SKMM
Shahidan-Teo tikam lidah isu lantik ahli politik SKMM

Dewan Rakyat kecoh seketika apabila Shahidan Kassim (PN-Arau) bertikam lidah dengan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berhubung sekatan pelantikan ahli politik dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang dilabelnya sebagai ‘reformasi kosmetik’.

Shahidan persoal rasional sekatan

Shahidan mempersoalkan rasional peruntukan Subseksyen 6(1A) dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589) yang secara spesifik melarang Ahli Parlimen dan Adun dilantik sebagai teraju suruhanjaya itu. Katanya, sekatan itu tidak membawa sebarang makna reformasi memandangkan kuasa mutlak pelantikan pengerusi masih tetap dipegang oleh menteri.

“Nak lantik, lantiklah siapa pun, tapi tak usah sebut (larangan Ahli Parlimen dan Adun). Ini ialah benda yang sama sebab dilantik oleh menteri. Tujuan reformasi yang dicadangkan ialah untuk kembalikan kuasa kepada rakyat. Kenapa tidak bagi kuasa dirujuk balik kepada Parlimen?” katanya ketika mencelah sesi penggulungan perbahasan RUU Akta 589 (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Teo bela pindaan

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas Teo yang mempertahankan pindaan tersebut dengan menjelaskan langkah berkenaan sebenarnya bertujuan mengehadkan bukan menambah kuasa menteri. “Hampir semua (ahli Dewan) menyokong pindaan ini, hanya Arau seorang sahaja yang tak rasa gembira kerana kita nak mengecualikan Ahli Parlimen dan Adun. Saya pun tak fahamlah, Arau memang berminat nak jadi pengerusi SKMM ke?” soalnya.

Menurutnya, peruntukan menteri melantik pengerusi badan berkanun adalah amalan standard sejak 1998 dan diguna pakai oleh agensi kawal selia lain seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan sebagainya. Malah katanya, model pelantikan melibatkan menteri bertanggungjawab ini turut menyamai sistem antarabangsa seperti badan kawal selia media United Kingdom, Ofcom.

Reformasi secara berperingkat

Mengulas lanjut, Teo berkata pindaan itu masih belum cukup ‘sempurna’ untuk agenda tatakelola, kerajaan mengakui proses reformasi memerlukan masa dan dilaksanakan secara berperingkat. “Tetapi adakah ini satu tambah baik? Maka janganlah putar belit dan cakap seolah-olah kita beri kuasa lebih besar kepada menteri. Pindaan ini mengehadkan pilihan menteri supaya tidak melantik orang politik. Kalau ada ruang tambah baik, kita boleh bincang masa depan,” katanya.

RUU itu diluluskan Dewan Rakyat selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga