Saifuddin nafi dakwaan beri kerakyatan kepada warga China
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan bahawa beliau memberikan kerakyatan Malaysia kepada warga China secara sewenang-wenang, menyifatkannya sebagai fitnah dan cubaan jahat untuk menghasut sentimen awam serta menimbulkan kekeliruan.
Beliau menegaskan bahawa proses kelulusan permohonan kerakyatan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan prosedur saringan keselamatan yang komprehensif, dan tidak dilakukan secara sewenang-wenang atau untuk kepentingan politik.
“Sepanjang tempoh saya menjadi Menteri Dalam Negeri, saya telah berulang kali menjelaskan perkara ini, dengan data lengkap, di Parlimen dan dalam sidang media. Namun, poster fitnah yang mengandungi elemen 3R (agama, kaum dan institusi raja) ini muncul semula dan tular walaupun saya telah menafikan dakwaan yang sama pada Mac tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution menggesa orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan naratif palsu dan menyemak maklumat melalui sumber yang sahih dan boleh dipercayai. Beliau memberi amaran bahawa penyebaran fitnah dan berita palsu adalah tidak bertanggungjawab dan boleh mengancam keharmonian serta keselamatan negara.
“Saya juga menyeru pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan dakwaan fitnah dan maklumat palsu ini supaya segera menghentikan tindakan tidak beretika ini dan sebaliknya menyokong usaha Kerajaan Madani dalam menangani cabaran semasa, termasuk krisis bekalan global yang menjejaskan rakyat dan negara,” katanya.
Menurutnya, ini bukan masanya untuk menimbulkan kebimbangan, memanipulasi sentimen atau membebankan rakyat dengan propaganda yang tidak berasas sedangkan ramai yang sudah berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan ketidaktentuan ekonomi global. “Semua pihak harus bertindak secara bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat dan mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara,” tambahnya. — Bernama



