Rafizi Selesai Beri Keterangan Hari Keempat SPRM
Rafizi Selesai Beri Keterangan Hari Keempat SPRM

PETALING JAYA: Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli telah selesai memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari keempat berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion. Beliau menyatakan keseluruhan proses berjalan lancar dan dikendalikan secara profesional oleh pegawai penyiasat SPRM.

“Soal siasat tadi habis dalam 4.30 petang. Saya dimaklumkan bahawa semua keterangan saya telah diambil sepenuhnya dan itu melengkapkan lebih kurang empat hari keterangan yang berjumlah 131 muka surat,” katanya. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula jika diperlukan.

Bercakap kepada media selepas hampir tujuh jam keterangannya dirakam di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Rafizi berkata beliau tidak dimaklumkan tentang sebarang tindakan lanjut atau kemungkinan tuduhan setakat ini kerana siasatan masih berjalan dan beberapa lagi saksi dijangka dipanggil.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau memaklumkan bahawa fokus siasatan sepanjang empat hari itu tertumpu kepada proses dan prosedur membuat keputusan termasuk mesyuarat, dokumen dan minit berkaitan. “Tumpuannya ialah proses dan prosedur membuat keputusan … tidak ada elemen wang langsung,” katanya lapor Bernama.

Pengakuan SPRM

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Mohd Hafaz Nazar mengesahkan bahawa hari ini ialah hari keempat dan terakhir SPRM merakam percakapan Rafizi sejak Isnin lepas. “Sesi rakaman percakapan Rafizi untuk hari ini yang bermula 10 pagi tadi telah berakhir 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom kini pada peringkat akhir.

Setakat ini, katanya, 22 saksi telah dipanggil termasuk penganalisis politik James Chai bagi membantu siasatan, dan dua lagi saksi akan dipanggil masing-masing seorang di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Feb lepas susulan aduan daripada tiga NGO yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan. Kes membabitkan urus niaga dengan Arm Holdings itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga