PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Puad Zarkashi mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu yang disandangnya sejak 2022 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini atas faktor usia.
Keputusan atas faktor usia
Beliau berkata, keputusan itu sudah dibuat sejak setahun lalu dan hasrat berkenaan turut dimaklumkan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi dua minggu lalu.
“Saya sudah berusia 69 tahun. Kalau lima tahun lagi saya akan berumur 74 tahun. Pada saya tidak sesuai di usia tersebut mahu bertanding lagi di kerusi DUN.
“Onn Hafiz wajar diberi peluang memimpin barisan muda bertanding dan memimpin kerajaan negeri. Sepatutnya yang berusia 50 tahun ke bawah sahaja yang wajar bertanding di kerusi DUN,” katanya dalam satu kenyataan.
Cadangan pelapis
Puad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, beliau juga sudah memberikan cadangan mengenai ciri-ciri pelapis yang perlu dipertimbangkan bagi menggantikannya di kerusi berkenaan.
Katanya, calon pengganti itu perlu mempunyai kelulusan, berakhlak, komited kepada perjuangan dan memahami hala tuju bangsa.
Beliau berkata, buat sementara waktu beliau akan menyelesaikan beberapa tugasan sebelum hari penamaan calon.
Puad turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Rengit, penjawat awam, ketua kampung dan masyarakat Cina atas kerjasama yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Beliau juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikannya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, selain menghargai nasihat dan bimbingan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam memastikan sidang DUN Johor berjalan tertib dan lancar.
Pencapaian pada PRN 2022
Pada PRN Johor yang ke-15 pada 2022, Puad memenangi kerusi DUN Rengit dengan majoriti 1,920 undi. Beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) mendapat undian sebanyak 7,903 dan menewaskan Mohammad Huzair Lajis daripada Perikatan Nasional (5,983).
Sementara itu, Khairuddin A Rahim daripada PKR mendapat 2,065 undian manakala Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Pejuang memperolehi 206 undi.



