PETALING JAYA: PKR tidak goyah dengan tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad keluar parti serta melepaskan jawatan Ahli Parlimen. Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, berkata perkara itu bukan luar biasa kerana parti sudah melalui pelbagai episod politik sejak penubuhannya.
PKR tetap kukuh
Menurut Kamil, PKR kekal kukuh malah terus menerima pertambahan ahli dari semasa ke semasa. “Goyah? Tak ada pun, tak goyah pun. Bahkan kita terus kekal kukuh. Ini sebahagian daripada proses demokrasi,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, lapor Sinar Harian.
Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin cabang PKR yang dilaporkan meninggalkan parti sehingga menimbulkan tanggapan konon ia semakin lemah. Rafizi dan Nik Nazmi keluar PKR pada 18 Mei lalu serta mengosongkan kerusi Pandan dan Setiawangsa. Mereka kini mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Cabaran lebih besar pernah dihadapi
Kamil berkata PKR pernah berdepan cabaran lebih besar termasuk ketika tercetusnya Langkah Sheraton pada 2020. Ketika itu ramai menjangka PKR akan lumpuh sepenuhnya, namun tanggapan tersebut meleset selepas ia berjaya membentuk kerajaan pada PRU15.
Mengulas dakwaan tindakan melibatkan pimpinan tertentu termasuk bekas timbalan presiden PKR itu memberi kesan kepada parti, Kamil menegaskan perkara tersebut tidak memberi impak signifikan kepada Pemuda mahupun PKR secara keseluruhan. “Tak ada kesan apa, biasalah macam itu. Tidak ada kesan yang signifikan. Pemuda masih terus kekal utuh dan kukuh. Bahkan kita menyaksikan dari semasa ke semasa peningkatan dan pertambahan anggota yang menyertai PKR itu kian meningkat,” katanya.



