PH seru rakyat Johor pilih kerajaan sehaluan dengan Putrajaya
PH seru Johor pilih kerajaan sehaluan dengan Putrajaya

Pakatan Harapan (PH) menyeru rakyat Johor membuat keputusan terbaik dengan memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan persekutuan, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan, berkata gabungan itu sudah menggerakkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

“PH Johor percaya Bangsa Johor akan membuat keputusan yang terbaik dalam memilih kerajaan negeri yang selari dengan kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH,” katanya kepada FMT.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Naib Pengerusi PKR, Jimmy Puah, berkata PH akan bertanding di semua 56 kerusi DUN, sekaligus berdepan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kita sedia dan sudah jangka PRN. Kita akan tanding semua 56 DUN seperti diumumkan di konvensyen PH Mei lalu,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, menerusi kenyataan bersama, PH Johor berkata ia akan menggembleng usaha sebaik mungkin untuk memenangi PRN.

“Bagi kami, tidak ada pilihan raya yang mudah,” katanya.

Pada PRN kelak, PH akan mempertahankan 12 kerusi, manakala BN 40 kerusi, PN tiga kerusi, dan Muda satu kerusi.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga